Saturday, January 29, 2011

Petua Menangani Anak Tidak Mahu Pergi Sekolah

Ada kanak-kanak yang memang suka pergi sekolah tapi ada juga segelintir yang tak suka pergi sekolah. Yang pasti, mesti ada sesuatu sebab kenapa mereka tidak mahu pergi sekolah. Masalah ini biasanya berlaku bagi anak berumur 4 -7 tahun yang baru hendak mula bersekolah. Walaupun demikian ada juga kes anak yang tidak suka ke sekolah yang berlarutan sehingga sekolah rendah.


Antara Penyebabnya

1. Tidak mahu berpisah dengan ibu dan adik-adik di rumah

2. Dibuli oleh kawan-kawan di sekolah

3. Guru yang tidak disukainya; mungkin gurunya selalu menegur dan marah secara yang tidak disukainya.

4. Tidak suka berkawan, suka tinggal berseorangan disebabkan tidak dibiasakan sebelumnya

5. Tidak selesa, takut, tidak pernah berenggang dengan ibu bapa dan tidak rasa selamat

6. Perasaan takut dan tidak selesa berdepan dengan guru dan kawan-kawan

7. Tidak suka bangun awal pagi

8. Tidak suka dengan persekitaran sekolah


Cadangan Penyelesaian
Selidiki punca masalah; apakah sebab anak tidak mahu pergi sekolah. Pujuk dan tanya kenapa dia tidak mahu pergi sekolah; adakah sebab kena buli, takut kawan atau guru atau sebagainya. Berdasarkan punca masalah tersebut, cuba cari jalan penyelesaian yang sesuai seperti berikut:


1. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah, seperti “ada ramai kawan”, “guru yang baik”, “boleh main dengan kawan” dan sebagainya..

2. Beri ganjaran (umpan) kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah tetapi janji tersebut mestilah jangan keterlaluan dan di dalam kemampuan ibu bapa.

3. Latih anak bangun awal, sebaik-baiknya dapat solat subuh bersama-sama. Sediakan mereka dengan pakaian yang kemas.

4. Mungkin juga ibu atau bapa perlu temankan dia di sekolah untuk berapa ketika sehingga dia rasa selamat dan yakin

5. Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Tanya hal-hal aktiviti, siapa kawan dia di sekolah dan sebagainya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.

6. Berbincang dengan guru sekiranya anak anda dibuli atau takut kepada kawan. Biasanya guru juga dapat mengesan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

7. Bantu anak dapatkan kawan seramai yang mungkin dan secepat mungkin. Ada juga kanak-kanak yang lambat mendapat kawan, dan ada yang cepat (bergantung kepada sifat genetik, persekitaran dan asuhan).

8. Tukar sekolah. Ini adalah pilihan terakhir sekiranya masalah persekitaran, guru dan rakan sukar diatasi. Kemungkinan juga anak tidak minat dengan silibus di sekolah berkenaan.

9. Berdoa semoga diberikan minat dan keinginan yang tinggi bagi anak-anak menuntut ilmu yang bermanfaat.

No comments:

Post a Comment